Halaman

Jelitaku-MK

11 Okt 2011

Kereta tertua di dunia dilelong AS$4.6 juta

 

WASHINGTON: Kereta yang dianggap tertua di dunia yang menggunakan kuasa stim dan masih boleh digunakan, dijual dengan harga AS$4.6 juta (RM14.2 juta) dalam satu lelongan.

Kereta buatan De Dion-Bouton et Trepardoux Dos-a-Dos Steam Runabout atau lebih dikenali sebagai “La Marquise,” yang dikeluarkan di Perancis pada 1884, dijual dua kali ganda daripada harga anggarannya dalam lelongan di Hershey, Pennsylvania, Jumaat lalu.
Syarikat lelongan, RM Auctions memaklumkan kereta yang mempunyai kelajuan maksimum 61 kilometer sejam dan sejak 127 tahun usianya kereta itu hanya mempunyai empat pemilik saja.
Pemilik terakhirnya ialah seorang pengumpul antik, dari Texas, John O’Quinn yang membeli kereta klasik yang pertama kali menyertai satu perlumbaan kereta pada 1887 dengan harga AS$3.5 juta pada 2007.

Kereta itu juga pernah menyertai perlumbaan antara London ke Brighton.

Bagaimanapun, pemilik terbaru kereta itu tidak didedahkan kali ini.

Media Amerika bagaimanapun mendakwa ada sebuah lagi kereta yang kini terletak dalam Muzium Kereta Nasional Britain, yang turut didakwa sebagak kereta tertua di dunia.
Kereta buatan British itu dikeluarkan pada 1875 oleh Robert Neville Grenville yang hanya mempunyai tiga roda. - AFP

23 Sep 2011

Bill Gates paling kaya di AS

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Status ekonomi AS yang tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak menghalang pengasas gergasi perisian komputer Microsoft, Bill Gates mengungguli tempat teratas individu terkaya di AS selama 18 tahun berturut-turut.
Senarai tersebut yang di keluarkan oleh majalah Forbes kelmarin, turut menyenaraikan 400 orang terkaya di negara kuasa besar berkenaan.
Menurut majalah tersebut, nilai kekayaan pengasas bersama Microsft itu pada tahun ini ialah AS$59 bilion (RM185.82 bilion), bertambah sebanyak AS$5 bilion (RM15.74 bilion) sepanjang tahun ini berbanding setahun lalu.
Perkembangan itu meletakkan pelabur, Warren Buffet di tempat kedua dengan nilai kekayaan sebanyak AS$39 bilion (RM122.83 bilion).
Orang ketiga terkaya di AS ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Oracle, Larry Ellison dengan kekayaan berjumlah AS$33 bilion (RM103.93 bilion), bertambah AS$6 bilion (RM18.89 bilion) berbanding tahun lalu.
Spekulator mata wang George Soros pula berada di tempat ketujuh.
Beliau buat kali pertama berada dalam kedudukan 10 orang terkaya di negara tersebut.
Forbes menganggarkan kekayaan Soros bernilai AS$22 bilion (RM69.28 bilion).
Turut tersenarai dalam 10 orang paling kaya AS tahun ini ialah waris kepada pengasas rangkaian pasar raya Wal-Mart Stores Inc., Sam Walton.
Dalam senarai tersebut, Forbes menyatakan sebanyak 262 individu mengalami peningkatan nilai kekayaan, 72 pula menurun manakala 18 individu berada di dalam senarai 400 orang terkaya di AS buat pertama kali.
Terdapat 42 wanita yang turut tersenarai termasuk pengacara terkenal, Oprah Winfrey pada tangga ke-139, dengan anggaran kekayaan bernilai AS$2.7 billion (RM8.50 bilion). - AP

15 Ogo 2011

Rumah paling mahal di Britain

OXFORD - Sebuah rumah lama di Britain dipercayai telah dijual kepada seorang hartawan dari Rusia dengan harga kira-kira £140 juta (RM684 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Rumah Park Place yang berusia 300 tahun itu terletak di kawasan luar bandar berkeluasan 80.93 hektar di Oxfordshire.
Harga itu mengatasi rumah paling mahal di Britain sebelum ini iaitu £136 juta (RM664 juta) yang dijual di One Hyde Park, Knightsbridge, tengah London, awal tahun ini.
Terdapat sejarah unik mengenai rumah itu kerana ia pernah didiami oleh anakanda lelaki sulung George II yang pernah memerintah England.
Anak lelaki George II itu, Frederick (gambar) memegang gelaran Putera Wales.
Namun, baginda mangkat semasa berusia 44 tahun sebelum sempat menjadi Raja England.
Rumah itu kemudian dijual oleh balu Frederick, Augusta kepada seorang pegawai tentera England yang dikenali sebagai Jeneral Conway. - Agensi

sumber: kosmo

21 Jul 2011

Kapal mewah Roman Abramovich untuk disewa


LONDON - Sebuah kapal mewah milik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich sepanjang 162.45 meter kini ditawarkan untuk disewa pada harga £1.25 juta (RM6 juta) seminggu, lapor sebuah akhbar semalam.
Kapal itu disewa enam bulan selepas kapal tersebut yang berharga £300 juta (RM1.45 juta) dihantar kepadanya untuk digunakan.
Abramovich yang merupakan seorang bilionair Rusia dikatakan hanya menghabiskan masa selama beberapa jam di atas kapal berkenaan.
Kapal itu yang diberi nama Eclipse mempunyai 70 kakitangan, sistem pertahanan peluru berpandu dan tingkap kalis peluru.
Jika kapal itu diceroboh, penumpang boleh melarikan diri dengan menggunakan sebuah kapal selam yang terdapat pada kapal tersebut.
Kapal selam itu mampu menyelam pada kedalaman 45.72 meter.
Isian penuh minyak kapal itu melibatkan kos £400,000 (RM1.93 juta).
Abramovich yang memiliki tiga lagi kapal layar menempah Eclipse pada 2006.
Ia belayar buat kali pertama dari dermaga Blohm Voss, Hamburg, Jerman pada Jun 2009. - Agensi

6 Jul 2011

Kereta Bugatti Veyron Edisi Khas berharga RM6.73 juta


BERLIN - Pengeluar kereta supersport mewah, Bugatti baru-baru ini memperkenalkan model Veyron terbarunya yang menggunakan kemasan porselin dan dijual pada harga AS$2.24 juta (RM6.73 juta) seunit.
Kereta yang turut dikenali sebagai Grand Sport L'Or Blanc tersebut dilancarkan di luar kilang porselin milik syarikat Koenigliche-Porzellan-Manufaktur (KPM) di Berlin, Jerman. Ia dihasilkan sebagai meraikan permulaan kerjasama antara KPM dan Bugatti.
Menjadi kereta pertama yang menggunakan material porselin pada bahagian dalaman dan luarannya, hanya sebuah Veyron sebegini dihasilkan.
Bugatti Veyron dengan spesifikasi biasa dijual pada harga AS$1.6 juta (RM4.81 juta) seunit. Ia dilengkapi dengan sebuah enjin V8 dan mampu mencecah kelajuan sehingga 407 kilometer sejam (km/j).
Pemilik KPM, Jorg Woltman memberitahu idea untuk bekerjasama dengan Bugatti sebenarnya diinspirasikan oleh Rembrandt Bugatti yang merupakan seorang pembuat arca terkenal. "Sekarang, kami telah menghasilkan porselin paling laju di dunia," kata Woltman. - Agensi

4 Jul 2011

Bugatti dilelong RM2.08 juta, harga asal cuma RM290


SUSSEX, Britain - Sebuah kereta lumba Bugatti yang dibeli pada harga £60 (RM290) pada 1950 telah dijual dalam satu lelongan pada harga £430,000 (RM2.08 juta) pada Festival Kelajuan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta itu milik Jack Perkins dari Ruby, Warwickshire yang dibelinya di Nottinghamshire dan diubah suai untuk digunakan dalam perlumbaan.
Perkins yang merupakan seorang jurutera menggunakan kereta itu dalam perlumbaan Indianapolis 500 pada 1936 dan Kejuaraan Kebangsaan Amerika pada 1938.
Dia meninggal dunia pada 1992 dan berlumba sehingga Jun 1988 semasa berumur 78 tahun.
Balunya, Jean kemudian memutuskan untuk mempamerkan kereta itu di Muzium Kenderaan Haynes di Somerset sehingga Disember 2010.
Keluarga Perkins kemudian memutuskan untuk melelong kereta itu dalam satu acara lelongan pada hujung minggu lalu.
Identiti pemilik baharu kereta itu tidak diketahui. - Agensi

14 Jun 2011

Bieber kedua lumayan


LOS ANGELES: Penyanyi remaja Justin Bieber muncul selebriti di bawah umur 30 tahun yang mendapat bayaran kedua paling tinggi dalam senarai terbaru, majalah bisnes Forbes.
Menurut laman web berita dan gosip selebriti, OMG! yang dikendalikan Yahoo! penyanyi berusia 17 tahun itu adalah paling muda dalam senarai 20 selebriti yang meraih pendapatan tertinggi sejak 12 bulan lalu sehingga Mei.
Bieber peroleh AS$53 juta (RM150 juta) dalam tempoh itu, manakala penyanyi Lady Gaga mengungguli senarai dengan pendapatan AS$170 juta (RM510 juta).

Dua puluh selebriti bawah umur 30 tahun teratas dalam senarai berkenaan secara berkumpulan meraih pendapatan AS$690 juta (RM2 bilion) bagi tempoh Mei 2010 hingga Mei 2011.

Bieber antara tujuh penyanyi dalam senarai berkenaan yang turut mengumpulkan pelakon dan ahli sukan.

Lady Gaga atau nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta, muncul di tempat pertama berikutan konsert yang diadakannya sejak tahun lalu.
Selain 137 konsert di 22 negara itu, Lady Gaga turut meraih pendapatan AS$90 juta (RM270 juta) hasil jualan 15 juta album.

Penyanyi, Rihanna di tempat ke-10 dalam senarai Forbers meraih AS$29 juta (RM90 juta). – Agensi

sumber: berita harian online

13 Mei 2011

Kereta sport paling mahal kini milik Lamborghini


LONDON - Kereta sport termahal di dunia kini bertukar takhta apabila kereta Lamborghini buatan Itali berjaya memintas pendahulu sebelum ini, Bugatti Veyron, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta Lamborghini Sesto Elemento itu dijual dengan perbezaan harga £170 ribu (RM830,389) dengan nilai £1.77 juta (RM8.7 juta).
Ia dibina pada tahun ini di Sant'Agata Bolognese, Itali.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini, Stephan Winkelmann, model itu pertama kali dipamerkan dalam Pertunjukan Kereta Paris Oktober lalu.
Bagaimanapun, kereta Lamborghini Sesto Elemento yang memiliki kelajuan 321 kilometer sejam masih tidak dapat menandingi Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport buatan Jerman dengan kelajuan maksimum 407 kilometer sejam.
Kereta terbaru Lamborghini itu menggunakan enjin 5.2 liter V10 dna beratnya kurang satu tan.
Hanya 20 buah nit kereta itu akan dibina.
Kereta Bugatti Veyron dikeluarkan di Molsheim, Alsace, Perancis. - Agensi

11 Mei 2011

Kapal mewah Abramovich lawan pengasas Microsoft


LONDON - Kapal mewah milik dua bilionair terkenal, Roman Abramovich dari Rusia dan Paul Allen yang merupakan pengasas syarikat perisian komputer, Microsoft menjadi tumpuan media semalam.
Kapal mewah milik Abramovich yang juga pemilik kelab bola sepak Chelsea diberi nama Luna, sepanjang 114.90 meter berlabuh dekat bandar Antibes, Perancis baru-baru ini.
Ia memiliki sebuah kolam renang dan tempat pendaratan helikopter, tingkap kalis peluru dan setiap bilik mengandungi skrin pawagam sebesar televisyen.
Namun, kapal milik Allen sepanjang 126.18 meter yang diberi nama Octopus pula mempunyai gelanggang bola keranjang dan dua tempat pendaratan helikopter.
Kapal pengasas bersama Microsoft itu dilengkapi dua kapal selam kecil, sebuah kolam renang dan sebuah studio muzik.
Allen menggunakan kapal itu untuk berparti.
Kedua-dua lelaki itu berada dalam senarai 100 individu paling kaya di dunia dengan Abramovich berada di tempat ke-53 dan Allen di tangga 57.
Kedua-dua kapal itu juga berlabuh dekat bandar Antibes, Perancis baru-baru ini. - Agensi

5 Mei 2011

Clive Calder pemuzik terkaya


LONDON 5 Mei - Eksekutif syarikat rakaman British, Clive Calder yang menjual Zomba Records pada 2002, merampas tahta jutawan muzik terkaya Britain 2010 dengan kekayaan berjumlah 1.3 bilion pound (RM6.4 bilion) selepas pemilik Warner Music, Edgar Bronfman yang tinggal sementara di London berpindah semula ke New York.

Akhbar Britain, Sunday Times hari ini melaporkan komposer dan pemilik teater, Andrew Llyod Webber pula berada di tangga kedua dengan harta bernilai 680 juta pound (RM3.35 bilion), sementara produser muzik, Cameron Mackintosh di tempat ketiga dengan kekayaan bernilai 675 juta pound (RM3.33 bilion).

Juri rancangan The X Factor dan American Idol, Simon Cowell turut berada dalam senarai 10 jutawan muzik terkaya Britain menduduki tangga keenam mengumpul harta mencecah 200 juta pound (RM987 juta).

Sementara itu, kumpulan U2 mengekalkan kedudukan teratas senarai jutawan muzik Ireland selepas meningkatkan kekayaan mereka kepada 455 juta pound daripada 429 juta pound pada tahun lepas. - REUTERS

4 Mei 2011

Belanja besar tukar Ferrari jadi limousin



LONDON - Seorang pemilik Ferrari 360 di sini membelanjakan wang sebanyak AS$326,687 (RM987,084) untuk mengubahsuai kereta sport miliknya menjadi sebuah limousin, lapor sebuah akhbar semalam.
Proses mengubah suai kereta sport yang dibeli pada harga AS$81,678 (RM246,790) itu mengambil masa enam bulan dengan menggunakan alat ganti tulen Ferrari.
Ferrari 360 asal memiliki 400 kuasa kuda (bhp) dan mampu memecut 0-100 kilometer sejam dalam masa cuma empat saat. Namun, limousin tersebut tidak dapat mencapai kelajuan asalnya kerana beratnya sudah bertambah. - Agensi

2 Mei 2011

Jutawan Arab - Al Walid


Selama 20 tahun lebih, tak ada yang boleh mengalahkan kekayaan Al Walid bin Talal bin Abdulazis Alsaud di Timur Tengah. Ia adalah orang terkaya nombor satu di tanah Arab, dan menduduki peringkat ke-13 di seluruh dunia – menurut Forbes. Berapa kayakah Al Walid?

Tidak ada yang boleh meramal dengan tepat, berapa kekayaan Al Walid. Termasuk mungkin Al Walid sendiri. Orang hanya menjangka jumlah antara $15 sampai $30 billion! Tidak usah memikirkan seberapa banyak, kerana jumlah ini sungguh tak terhingga banyaknya.

Kekayaan A Walid tersebar dalam lima bidang: stok perdagangan awam, perusahaan-perusahaan besar yang dimiliki Al Walid, real estate, aset kekayaan, dan kekayaan yang bersifat tunai dan tersebar di berbagai bank di seluruh dunia.

Jika dikira, maka perusahaan Al Walid menyumbang $7.88 billion, dan menjadikannya sebagai pemilik perniagaan terbesar di Arab Saudi dan Timur Tengah. Perniagaannya meliputi bidang IT, kesihatan, hiburan dan pelancongan. Cittigroup, Apple dan News Corporation adalah tiga nama besar yang dimiliki Al Walid.

Dari perniagaan-perniagaan kecilnya, Al Walid mendapatkan “duit rokok” sekitar $1.611 billion. Perniagaannya yang terkenal di sektor ini adalah Rotana, yang bergerak di bidang hiburan di Timur Tengah. 85% industri muzik dan 45% industri filem di bawah label Rotana.

Sedangkan dari bahagian Real Estate, Al Walid mendapat $3.196 billion. Al Walid sekarang ini memiliki Kingdom Resort. Namun beliau sekarang membangun Kingdom Oasis yang dikatakan jauh lebih mewah daripada Kingdom Resort. Di Kingdom Oasis mengandungi danau dan zoo peribadi.

Ia mempunyai kapal persiaran sangat mewah, pesawat Boeing 747 peribadi, dan pesawat jet Aibus A380, yang merupakan pesawat paling mewah dan paling besar di seluruh dunia. Dia memiliki 300 kereta dan salah satunya konon adalah Mercedes SL600 yang setara dengan $4.8 juta.

Jutawan Al-Waleed bin Talal bin Abdul Aziz Al lahir pada Mac 1955 dan merupakan anggota kerajaan Saudi. Dia adalah cucu dari perdana menteri Lebanon yang pertama. Dia mempunyai tiga orang isteri.

Jutawan Al Walid tinggal di sebuah istana yang berharga $100 juta, mempunyai 317 bilik, berkarpet sutera, 250 unit television, dan pelayan yang siap menyiapkan makanan untuk 2000 orang dalam satu jam. Di istana itu juga terdapat kolam renang yang menyerupai danau dan sebuah bioskop bawah tanah.

28 Apr 2011

Emas Hong Kong catat rekod tertinggi


HONG KONG - Emas di Hong Kong mencatat jualan lebih AS$1,500 (RM4,522) satu auns (28.34 gram) semalam kerana para peniaga mencari pasaran selamat di tengah kebimbangan masalah ekonomi global.
Logam bernilai itu mencatat harga pada AS$1,500 hingga AS$1,501 (RM4,525) setiap satu auns beberapa hari selepas Standard & Poor's menurunkan hutang Amerika Syarikat (AS) dari negatif kepada stabil.
Harga emas di negara itu sebelum ini mencatat harga AS$1,495 (RM4,507) hingga AS$1,496 (RM4,510) satu auns
Para penganalisis menyatakan bahawa kesan kenaikan harga emas itu adalah akibat ketegangan yang sedang berlaku di Asia Barat, Afrika Utara dan zon Eropah serta kebimbangan hutang tinggi AS.
Sementara itu di London, harga emas turut melonjak melebihi AS$1,500 satu auns buat kali pertama semasa dolar AS berada dalam keadaan lemah selain kebimbangan inflasi tinggi dan hutang.
Keadaan itu menyebabkan para pelabur beralih kepada emas yang merupakan satu pelaburan yang selamat.
Harga emas mencecah AS$1,505.65 (RM4,539) satu auns di Pasaran Jongkong London sebelum diniagakan pada harga AS$1,503.60 (RM4,533) satu auns. - Agensi

22 Apr 2011

Obama akui sebabkan Zuckerberg pakai kot

PALO ALTO - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin menceritakan majlis makan malamnya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg ketika beliau berucap di hadapan kakitangan laman sosial itu di sebuah pejabat Facebook di sini, negeri California.
Memulakan ucapannya, Obama menceritakan apa yang berlaku dalam satu majlis makan malam tersebut yang berlangsung pada 26 Februari lalu dan dihadiri oleh Zuckerberg, 26, serta golongan elit industri teknologi AS lain.
Ketika itu, Zuckerberg duduk di sebelah kanan presiden berkenaan.
"Saya ialah lelaki yang menyebabkan Zuckerberg terpaksa memakai tali leher (merujuk kepada pemuda tersebut yang gemar bergaya santai dengan memakai baju-T). Semasa kami sedang menjamu selera, dia mula berpeluh. Ia amat tidak selesa untuk Zuckerberg. Saya kemudian membantu dia menanggalkan kotnya. Saya berkata kepadanya, jika anda mahu Mark (Zuckerberg), kami semua boleh menanggalkan kot kami supaya anda tidak kelihatan janggal," kata Obama.
Presiden berusia 49 tahun itu kemudian menanggalkan kotnya dengan diikuti Zuckerberg sekali gus mendedahkan kemeja yang dipakainya bersama tali leher hitam.
Zuckerberg sebelum ini dikenali sebagai seorang yang suka memakai seluar jean dan baju T serta jaket berbanding kot dengan tali lahir semasa muncul di khalayak ramai.
"Anda (Obama) lebih bergaya memakai kot berbanding saya," kata Zuckerberg sambil bergurau.
Selepas itu, mereka lebih selesa bersama dan kedua-duanya berbual panjang mengenai pelbagai isu terutamanya melibatkan teknologi.
Pertemuan itu merupakan peluang buat Obama untuk mendekati golongan muda di Lembah Silikon yang terkenal dengan penciptaan komputer.
Zuckerberg telah membuktikan kepada 500 juta pengguna Facebook mengenai siapa yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Pengasas laman itu dikatakan mempunyai kekayaan bernilai AS$13.5 bilion (RM50.62 bilion).
Obama turut mengambil kesempatan untuk meminta Zuckerberg membayar lebih bayak cukai berdasarkan pelan percukaian yang dikemukakan pemimpin AS itu.
"Ramai orang sukakan saya dan anda, Mark (Zuckerberg). Anda sepatutnya membayar lebih banyak sedikit dalam bentuk cukai.
"Saya tahu anda okey dengan perkara itu (cukai)," kata Obama. - Agensi

sumber: kosmo

20 Apr 2011

Pendapatan Obama 2010


WASHINGTON 19 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) dan isterinya memperoleh pendapatan sebanyak AS$1.7 juta (RM5 juta) pada tahun lalu, satu kejatuhan besar berbanding 2009 ekoran penurunan jualan buku beliau.
Obama dan isteri, Michelle dilaporkan memperoleh pendapatan kasar sebanyak AS$1,728,096 (RM5,236,994) untuk 2010, mengalami penurunan daripada AS$5.5 juta (RM16.6 juta) pada 2009.
Walaupun gaji beliau sebagai Presiden AS ialah sebanyak AS$395,000 (RM 1.2 juta) setahun, tetapi kebanyakan pendapatan Obama datang daripada hasil penjualan buku beliau, kata jurucakap White House, Jay Carney dalam satu kenyataan.
Obama memperoleh sebanyak AS$1.38 juta (RM4.2 juta) pada 2010 hasil jualan buku The Audacity of Hope, Dreams From My Father dan Of Thee I Sing: A Letter to My Daughters.
Jualan buku itu, bagaimanapun mengalami penurunan daripada hampir AS$5.2 juta (RM15.8 juta) yang diperolehi pada 2009.
Bagi buku kanak-kanak Of Thee I Sing yang diterbitkan pada tahun lalu, Obama berjanji untuk mendermakan hasil jualan buku itu selepas ditolak cukai kepada dana biasiswa Fisher House untuk kanak-kanak dan tentera AS yang kurang upaya.
Pada 2008, pendapatan beliau berjumlah AS$2.6 juta (RM7.9 juta).
Obama dan sekutu beliau dalam Parti Demokrat, baru-baru ini terlibat dalam perdebatan dengan Parti Republikan, parti yang menguasai Dewan Perwakilan AS, mengenai peningkatan kadar cukai ke atas rakyat AS yang kaya.
Beliau turut mengulangi kesediaannya untuk membayar cukai tinggi untuk menjadi contoh kepada rakyat kaya AS ketika kerajaan mengalami defisit belanjawan yang besar.
Pada 2010, Obama dan isteri membayar lebih AS$500,000 (RM1.5 juta) cukai kepada kerajaan persekutuan dan negeri.
Menurut White House, beliau turut menyumbang sebanyak AS$245,000 (RM742,472) atau 14 peratus daripada pendapatannya kepada 36 badan amal pada 2010. - AFP

sumber: utusan malaysia online

19 Apr 2011

Status baru Justin Bieber


APA yang membuatkan Justin Drew Bieber atau lebih dikenali dengan nama pentas, Justin Bieber begitu istimewa di mata jutaan peminatnya?
Kata sesetengah pihak, kalau hendak diukur kepada bakatnya, rasanya ada penyanyi lain yang bakat mereka jauh lebih hebat daripada Bieber.
Jika bukan bakat yang menjadi kayu pengukur kepada populariti dan kehebatan Bieber, memang tidak syak lagi, kegilaan peminat terhadap penyanyi kelahiran Kanada itu adalah kerana paras rupa yang comel dan sejuk mata memandang buat peminatnya.
Katalah apa sahaja tentang Bieber, dia cukup bertuah kerana sokongan padu peminatnya yang menjadi peguam bela tidak rasmi untuk membidas segala kenyataan negatif terhadap penyanyi pujaan mereka.
Biar apa pun kritikan yang dilempar kepada remaja berusia 17 tahun ini, tiada seorang pun yang dapat menafikan fenomena yang dicetuskan oleh Bieber.
Hadirnya umpama virus yang menyerang dan kemudiannya dengan pantas merebak sehingga menyebabkan peminatnya diserang histeria setiap kali mendengarkan atau menonton persembahannya.
Usianya dalam bidang seni baru setahun jagung tetapi populariti yang dikecapinya mengalahkan penyanyi senior sedia ada.
Dan, percaya atau tidak, Bieber kini sudah pun sebaris dengan penyanyi popular dan ternama sedia ada apabila sudah memasuki golongan sebagai artis paling kaya di dunia.
Percaya atau tidak, hanya dalam tempoh tiga tahun sahaja sejak dia mula menyanyi pada tahun 2008, Bieber kini dilaporkan sudah pun memiliki aset bernilai lebih daripada AS$100 juta (RM302 juta)!
Semuanya adalah hasil daripada penjualan album, muat turun untuk lagu, kutipan tiket filem, penjualan barangan, menjadi duta dan jurucakap barangan selain daripada keuntungan daripada siri konsert jelajah dunianya.
Sayugia diingatkan, semua keuntungan itu adalah hak milik mutlak terutama untuk penjualan album dan lagu kerana dia bukan hanya menyanyi tetapi dia juga adalah komposer serta penulis lirik bagi kesemua lagu di dalam albumnya.
Untuk setiap kunjungannya ke lokasi konsert terpilih, Bieber dikatakan menerima bayaran sekurang-kurangnya AS$300,000 (RM908,000). Setakat ini, Bieber sudah pun mengadakan persembahan di 140 buah lokasi di seluruh dunia dan terbaru, di Malaysia, esok, 21 April.
Bukan itu sahaja, Bieber juga menjadi artis kedua popular selepas Lady Gaga di laman sosial, Twitter dengan jumlah pengikut seramai 8.3 juta dan menjana keuntungan luar biasa dari sudut pengiklanan.
Ternyata populariti luar biasa yang telah dicetuskan oleh Bieber membuatkan banyak syarikat mahu menggunakan khidmatnya dalam usaha menarik perhatian pelanggan mereka dalam mencatatkan keuntungan.
Sebagai contoh, Bieber dikatakan telah menerima bayaran AS$1 juta (RM3.02 juta) hanya untuk muncul dalam iklan 30 saat untuk mempromosikan produk terbaru keluaran Best Buy yang kemudiannya ditayangkan sewaktu perlawanan US Super Bowl.
Berbekalkan wajah comel, bayaran yang diterima pelantun lagu Baby itu memang cukup lumayan iaitu sebanyak AS$3 juta (RM9.06 juta) untuk kontrak selama dua tahun produk ProActiv.
Angka itu memang dianggap sebagai luar biasa bagi seorang artis baru dan muda seperti Bieber dan ia juga dikatakan berjaya mengatasi bayaran yang pernah diterima oleh artis dewasa yang menjadi duta produk.
Bieber sememangnya cukup bijak mengatur strategi terbaik dalam memasarkan namanya dan dia juga sedar, apa sahaja yang melibatkan dirinya, ia akan menjadi rebutan.
Itulah yang dilakukan oleh Bieber apabila dia bersetuju untuk menggunakan namanya bagi produk barangan bilik tidur seperti cadar, sarung bantal dan selimut selain fon kepala (headphone) dan barang kemas untuk kanak-kanak.
Malah, jejaka yang cukup terkenal dengan imej potongan rambut mangkuk (bowl cut) itu turut memberikan penghormatan kepada peminat wanitanya apabila dia mengeluarkan produk kecantikan berupa varnis kuku, One Less Lonely Girl.
Filem pertamanya, Justin Bieber: Never Say Never juga mencipta rekod luar biasa apabila mencatatkan kutipan sebanyak AS$73 juta (RM221 juta) di seluruh dunia.
Dengan angka itu, ia sekali gus menjadi filem konsert paling laris di dunia sejak tahun 1984 dan filem dokumentari ketiga terlaris sejak 1982.
Kemewahan Bieber juga dikatakan akan terus meningkat apabila patung mainannya berada di pasaran tidak lama lagi.

Sumber: utusan online

15 Apr 2011

Arab Saudi mahu bina bangunan tertinggi 1.6 km



JEDDAH, Saudi Arabia - Keluarga diraja Arab Saudi kelmarin mendedahkan pelan membina bangunan paling tinggi di dunia, Kingdom Tower dengan kos AS$19.52 bilion (RM59.11 bilion) di sini, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Bangunan itu setinggi 1.6 kilometer yang akan mengandungi hotel, apartmen mewah dan sebuah pusat beli-belah apabila ia siap dibina.

Ia dua kali ganda lebih tinggi dari bangunan Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang kini menjadi bangunan paling tinggi di dunia.

Masa untuk tiba di menara bangunan itu ialah 12 minit dengan menggunakan lif dan mempunyai 275 tingkat.

Projek pembinaan itu dibiayai syarikat Kingdom Holdings Company (KHC) milik keluarga diraja Arab Saudi yang dipengerusikan Putera Alwaleed Bin Talal.

Syarikat Emaar yang membina Burj Khalifa difahamkan memenangi kontrak untuk mendirikan bangunan berkenaan.- Agensi

sumber: kosmo online

13 Apr 2011

Peroleh RM211,955 kerana video di YouTube


GERMANTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pelajar pergigian Universiti Temple di Philadelphia, AS, Rob Homayoon menyatakan dia sudah memperoleh pendapatan sebanyak AS$70,000 (RM211,955) sejak 2008 dengan menghasilkan klip video origami di laman YouTube di Internet, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Homayoon, 25, yang tinggal di sini, Pennsylvania menghasilkan klip video mengenai cara untuk membuat origami daripada kertas dari apartmennya.
Origami merupakan kaedah melipatkan kertas untuk menghasilkan pelbagai bentuk seperti burung.
Dia memperoleh pendapatan itu menerusi satu perjanjian dengan YouTube yang menjual iklan.
Menurutnya, dia memperoleh 80 peratus daripada jualan iklan dan Google yang memiliki YouTube memperoleh 20 peratus.
"Semasa (video) saya bermula, saya memperoleh AS$100 (RM302.85) dan saya berpendapat saya boleh menggunakannya untuk wang minyak saya. Kemudian ia meningkat kepada AS$400 (RM1,211) dan AS$600 (RM1,817) dan pada akhirnya saya memperoleh AS$1,000 (RM3,028) dan kemudian AS$2,000 (RM6,057).
"Salah satu cek saya mengandungi lima angka. Ia berlaku pada Disember lalu, empat bulan lalu," kata Homayoon.
Video klip Homayoon kini dimuat naik sebanyak 29.4 juta dan rangkaian klip videonya di YouTube mempunyai 64,000 pelanggan. - Agensi

12 Apr 2011

Taikun Amerika kuasai Arsenal


LONDON - Taikun sukan Amerika Syarikat, Stan Kroenke telah menguasai pegangan saham Arsenal dan bersetuju dengan terma untuk membeli baki saham kelab Liga Perdana England itu semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bursa Saham London, perjanjian tersebut mencecah nilai sekitar £731 juta (RM3.6 bilion).
Kroenke Sports Enterprises (KSE) telah meningkatkan pegangan saham mereka daripada 29.99 peratus kepada 62.89 peratus dan terdapat terma yang dipersetujui untuk KSE membeli baki saham dengan nilai £11,750 (RM58,090) seunit.
"Kami cukup teruja dengan peluang untuk meningkatkan penglibatan serta komitmen kami terhadap Arsenal.
"Arsenal jelas sebuah pasukan yang cukup hebat dengan sejarah istimewa dan tradisinya.
"Mereka turut memiliki seorang pengurus yang bagus iaitu Arsene Wenger.
"Kami berhasrat untuk membina warisan yang penuh kekayaan ini dan membawa kelab ini ke arah satu kejayaan baru," kata Kroenke, 63, dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Wenger turut mengalu-alukan perjanjian baru itu sambil berkata: "Saya telah bekerja dengan Kroenke dalam lembaga pengarah kelab sejak beberapa tahun lalu dan yakin beliau cukup menyayangi kelab ini."
Kroenke yang pada mulanya hanya memiliki 9.99 peratus saham Arsenal pada April 2007 turut merupakan pemilik kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Colorado Rapids serta pasukan bola keranjang, Denver Nuggets dan pasukan hoki ais, Colorado Avalanche. - AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tips To Make Money Online

It doesn’t matter how great the business is, there’s still those basic key points that you need to have a successful online business and here they are

1. GREAT MENTORS

2. A POWERFUL PRESENTATION

3. A POWERFUL COMPENSATION PLAN

4. TEAM SUPPORT

5. SELL PRODUCTS THAT ARE IN HIGH DEMAND

6. CREDIBILITY